Sunday 1 October 2017

KEMPEN "SAYANGI DIRIMU JAUHI DADAH"

PAMPLET KEMPEN (MUKA DEPAN)

PAMPLET KEMPEN (MUKA BELAKANG)
OBJEKTIF KEMPEN " SAYANGI DIRIMU JAUHI DADAH"

1). memberi kesedaran kepada kumpulan sasar akan pentingnya memerangi penyalahgunaan dadah sebagai tanggungjawab individu.

2). memberi kefahaman kepada kumpulan sasaran akan bahaya salah guna dadah terhadap warga dan negara sejak dahulu, kini dan akan datang.

3). memberi nilai kepada semua pihak melalui aktiviti yang dilaksanakan dibawah kempen yang diadakan ini.



Thursday 28 September 2017

https://youtu.be/5cb_dIGQuao

link ( video perpaduan)

video perpaduan



KEPENTINGAN MENGAMALKAN PERPADUAN KAUM DALAM KALANGAN MASYARAKAT

Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana terdiri daripada masyarakat berbilang kaum. Kaum-kaum utama seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan sebagainya dapat hidup dalam keadaan harmoni. Banyak negara di dunia menjadikan Malaysia sebagai negara yang patut dicontohi kerana masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman walaupun berbilang bangsa, agama dan budaya. Hal ini demikian kerana kebijaksanaan pemimpin kita yang menjadikan perpaduan kaum sebagai keutamaan bagi membina sebuah negara bangsa yang maju menjelang tahun 2020 nanti. Pada pendapat saya, banyak kepentingan yang dapat diperoleh jika perpaduan kaum dapat dikukuhkan dalam kalangan masyarakat.
Masyarakat yang harmoni dapat dilahirkan jika kaum-kaum di Malaysia dapat menerima antara satu sama lain tanpa wujud prasangka dan pergeseran sehingga boleh menimbulkan konflik antara kaum. Pengalaman 13 Mei 1969 suatu ketika dahulu banyak mengajar kita supaya menjadikan perpaduan kaum sebagai keutamaan. Kini, masyarakat pelbagai kaum di Malaysia sudah hidup bersatu padu dan saling memerlukan antara satu sama lain. Mereka saling bekerjasama, menghormati dan bertolak ansur antara satu sama lain kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali. Keterbukaan pemimpin negara dalam bidang pendidikan banyak menyumbang ke arah perpaduan kaum.  Sebagai buktinya, di Malaysia wujud Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang masing-masing menggunakan bahasa ibunda, tetapi pada masa yang sama bahasa lain boleh dipelajari. Hal inilah yang menyebabkan semua kaum di Malaysia dapat hidup dalam keadaan harmoni kerana  perasaan prejudis kepada kaum lain tidak wujud. Jelas menunjukkan bahawa masyarakat yang harmoni mampu diwujudkan jika perpaduan antara kaum dapat dikukuhkan.
Selain itu, ramai pelancong  luar negara berkunjung ke Malaysia kerana tertarik dengan budaya masyarakat berbilang kaum yang terdapat di Malaysia. Banyak keunikan cara hidup masyarakat pelbagai kaum dapat ditonjolkan seperti kepelbagaian makanan, pakaian, rumah ibadat, kesenian dan sebagainya kepada pelancong asing. Keunikan inilah yang menyebabkan pelancong dari Eropah, Timur Tengah dan Asia Timur datang ke Malaysia untuk melihat dengan lebih dekat kebudayaan pelbagai kaum. Sebagai buktinya, pada tahun lalu seramai 25 juta orang pelancong asing datang ke negara kita hasil daripada usaha kerajaan yang bersungguh-sungguh mempromosikan keunikan yang terdapat di Malaysia khususnya kebudayaan pelbagai kaum yang terdapat di sini. Menteri pelancongan, Datuk Seri Ng Yen Yen menjelaskan bahawa usaha untuk menarik 30 juta pelancong asing ke Malaysia pada tahun 2012 sedang digiatkan dan fokus kementerian adalah menganjurkan festival kebudayaan pelbagai kaum yang terdapat di negara kita. Jadi, perpaduan kaum yang kukuh di negara kita mampu menarik pelancong asing datang ke sini.
Di samping itu, perpaduan kaum juga secara tidak langsung mampu mengukuhkan ekonomi negara. Tidak dapat dinafikan bahawa antara sebab utama pelabur asing berani menanam modal di sesebuah negara adalah kerana kestabilan politik dan perancangan kerajaan yang mesra pelabur. Hal ini kerana mereka tidak mahu modal yang dilaburkan di sesebuah negara akan rugi akibat pergolakan yang berlaku di sesebuah negara. Malaysia bertuah kerana menjadi destinasi pelabur asing dari Amerika, Eropah, Jepun, China dan India. Baru-baru ini, pelabur dari China membawa modal sebanyak RM1.5 bilion untuk dilaburkan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi di Cyberjaya kerana yakin dengan usaha kerajaan yang bersungguh-sungguh untuk memacu negara menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020 nanti. Sudah tentu modal yang dilaburkan itu mampu menjana pendapatan kepada negara sekali gus  menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Pelabur ini  berani menanam modal di sini adalah tidak lain dan tidak bukan kerana kestabilan politik negara ekoran daripada masyarakat yang hidup bersatu padu tanpa sebarang perbalahan. Jadi, sudah terang lagi bersuluh bahawa perpaduan kaum mampu mengukuhkan ekonomi negara.
Akhir sekali, perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat Malaysia juga mampu meningkatkan imej negara di mata dunia. Memang tidak dapat dinafikan bahawa  negara pada masa kini sudah berada di peta masyarakat antarabangsa ekoran daripada usaha kerajaan yang berterusan membina negara yang disegani di peringkat dunia. Kepimpinan yang ada pada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed menjadi perintis untuk meletakkan Malaysia sebaris dengan negara-negara maju yang lain. Ketokohan yang ada pada beliau telah menjadikan negara-negara dunia ketiga sebagai model dan orang yang boleh bersuara untuk membela nasib mereka di pentas dunia. Selain kepimpinan negara, Malaysia juga dikenali di pentas antarabangsa adalah kerana kestabilan masyarakat yang wujud di negara kita. Sebagai buktinya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang ke-9 paling aman di dunia berdasarkan kajian yang dilakukan oleh sebuah badan bebas yang berpengkalan di  Amerika Syarikat. Hal ini sangat jelas menunjukkan bahawa pengiktirafan sedemikian adalah kerana masyarakat Malaysia hidup bersatu padu sehingga keadaan menjadi aman dan harmoni.
Kesimpulannya, perpaduan merupakan anugerah yang tidak ternilai harganya. Banyak negara di dunia menghadapi konflik atau perang saudara kerana wujud prejudis antara masyarakat. Kita sering kali melihat atau mendengar melalui media massa sama ada media cetak atau media elektronik mengenai pertempuran yang berlaku sehingga mengorbankan banyak nyawa yang tidak berdosa seperti warga tua dan kanak-kanak. Keadaan ini tidak berlaku di Malaysia kerana masyarakat kita saling menghormati antara satu sama lain. Oleh itu, saya menyeru supaya kekalkanlah perpaduan yang telah kita bina ini agar aspirasi kepimpinan  negara untuk menjadi  negara maju dapat direalisasikan.

Langkah-langkah memupuk perpaduan


Perpaduan merujuk kepada suasana dan ikatan mesra antara rakyat dalam sesebuah negara. Sudah terang lagi bersuluh, semakin hari kita semakin menghampiri ambang 2020. Keadaan ini menandakan titik permulaan pelbagai cabaran dan rintangan yang bakal menghambat. Isu perpaduan kaum bukanlah sesuatu isu yang baharu di negara kita bahkan telah menjadi fokus perbincangan dalam media massa dan buah mulut dalam kalangan rakyat. Senario ini amat mengecewakan kerana pembangunan negara kita yang pesat sejak merdeka akan terjejas disebabkan pergaduhan dan pergolakan politik dalaman.  Tiada penyakit yang tiada penawarnya, maka langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik haruslah dijalankan secara berterusan agar masalah ini boleh dibasmi hingga akar umbi. 

Peranan ibu bapa dan barisan pendidik merupakan wahana dalam membina generasi masa hadapan yang mementingkan keharmonian antara kaum. Dalam institusi keluarga, ibu bapa merupakan entiti mithali kepada anak dan perlu menunjukkan teladan baik. Contohnya, ibu bapa haruslah bertegur sapa dan melayani jiran setangga dengan mesra tanpa mengira bangsa, kaum dan anutan agama. Maka, sejak usia muda anak akan terpengaruh untuk meneladani sikap ibu bapa yang menghormati kaum lain, bak kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Barisan pendidik di sekolah juga memainkan peranan signifikan dalam menerapkan nilai murni ke dalam sanubari anak murid. Melalui pengajaran subjek pendidikan moral dan sivik kewarganegaraan, barisan pendidik dapat memberikan bimbingan dan nasihat yang berterusan untuk membentuk sahsiah positif dalam para murid. Yang kita pastikan ialah gabungan usaha antara ibu bapa dengan barisan pendidik dapat memupuk nilai perpaduan dalam generasi muda. 

Selain itu, pada masa ini juga aktiviti kemasyarakatan dapat mengukuhkan perpaduan kaum di negara kita. Melalui penganjuran aktiviti gotong-royong, masyarakat dapat memupuk semangat bekerjasama bak aur dengan tebing untuk membersihkan dan mengindahkan kawasan persekitaran tempat kediaman. Aktiviti sebegini mampu menjamin keceriaan kawasan kediaman masyarakat dan juga membuka ruang serta peluang komunikasi antara jiran tetangga. Pada masa yang sama, konsep rumah terbuka haruslah diperkukuh di negara kita. Rumah terbuka merupakan kaedah pemupukan perpaduan yang efektif kerana dapat mendedahkan masyarakat kepada keunikan adat resam kaum lain. Secara tidak langsung, persefahaman antara kaum dapat diwujudkan dan hubungan erat bak isi dengan kuku dapat dijalin. Dengan perkataan lain, aktiviti kemasyarakatan merupakan saluran yang paling berkesan untuk memupuk perpaduan kaum. 
Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa media massa merupakan rangkaian perhubungan yang banyak digunakan dalam era globalisasi ini. Dalam konteks mengukuhkan perpaduan kaum, media massa seharusnya digunakan dengan sebaik-baiknya untuk menyebarkan mesej dan informasi positif tentang kepentingan bersatu padu. Sebagai analoginya, stesen penyiaran tempatan boleh menyiarkan program yang berunsur perpaduan dan mempunyai pelakon yang berbilang pelbagai bangsa. Siaran program sudah pasti dapat menerapkan nilai perpaduan dalam jiwa masyarakat secara berunsur-unsur terutamanya jika unsur hiburan turut diselitkan dalam program tersebut. Sesungguhnya, perpaduan kaum akan tercapai dengan lebih mudah melalui peranan media massa. 
Dalam sistem perundangan negara kita, rakyat diberikan hak kebebasan bersuara. Namun demikian, rakyat Malaysia seharusnya menghindari sebarang tindakan yang boleh mencetuskan provokasi kaum. Rakyat negara kita haruslah mengawal nafsu diri dan tidak mengambil kesempatan dengan mencetuskan isu sensitif dan kontroversi. Hal ini dapat mengelakkan muhibah dan perpaduan kaum daripada terjejas kerana bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Justeru, peranan rakyat sendiri tidak boleh dinafikan kepentingannya dalam usaha memupuk perpaduan kaum di negara kita.
Konklusinya, perpaduan merupakan tunjang dan asas negara Malaysia. Semua pihak haruslah menggembleng tenaga dan berganding usaha untuk memainkan peranan masing-masing dalam menerbitkan semangat perpaduan dalam sanubari sendiri dan orang lain. Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, insyallah perpaduan rakyat dapat dicapai dan diggenggam erat. Dengan ini diharapkan peristiwa hitam seperti 13 Mei 1969 dapat dielakkan daripada berulang kembali. Demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020, marilah kita bersama-sama menyeru sahutan kerajaan dan berusaha untuk mewujudkan masyarakat yang harmoni dan bersatu. 

Monday 25 September 2017

Faktor-faktor yang menyumbang kepada pengukuhan perpaduan


1. Usaha Malaysia dalam menyatupadukan masyarakat berbilang kaum nescaya tidak membuahkan hasilnya tanpa pegangan teguh konsep atau gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri 

Sebenarnya, konsep 1Malaysia ini telah wujud semasa Perdana Menteri yang ke-6, yakni Datuk Seri Najib Tun Razak mula memegang tampuk pemerintahan sebagai Perdana Menteri. Gagasan 1Malaysia ini secara jelasnya mengutamakan keadilan dan kesaksamaan dalam perkongsian kekayaan dan kemajuan negara tanpa mengira kaum dan agama, iaitu usaha mewujudkan satu bangsa Malaysia berdasarkan pembentukan warganegara yang menganut pelbagai budaya dan agama, dan bukan bercirikan integrasi bangsa dan agama. 

2. Selain itu, rakyat diseru supaya sentiasa bertolak ansur untuk mengelakkan pertelingkahan dan perselisihan faham.

Sekolah yang merupakan alma mater telah menyisipkan nilai-nilai murni dalam atma setiap pelajar. Sebagai contohnya, nilai toleransi, nilai hidup bersama secara aman, nilai kasih sayang dan sebagainya. Dengan adanya nilai-nilai murni ini dalam diri, pelajar sedar bahawa mereka sebenarnya merupakan satu bangsa walaupun berlainan kulit tetapi matlamat untuk memperjuangkan nasib tanah air yang disayangi adalah sama. 

3. Kerajaan juga mengambil inisiatif yang proaktif dengan menggalakkan rakyat saling mengambil berat dan mengunjungi antara satu sama lain sejak di peringkat sekolah rendah lagi. 

4. Media massa juga memainkan peranan yang signifikan dalam usaha menyatupadukan masyarakat berbilang kaum.

Mesej atau artikel yang berkaitan semangat perpaduan dan menggalakkan perpaduan telah disampaikan melalui surat khabar, majalah, poster, internet dan sebagainya. Lebih-lebih lagi, karya sastera seperti “Seuntai Kata Untuk Dirasai”, “Dirgahayu Bahasaku” dan sebagainya daripada karya sasterawan negara yang tersohor, yakni A. Samad Said dan lain-lain lagi.