Monday, 25 September 2017

Langah-langkah mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat


Setiap tahun menjelang sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan, rakyat Malaysia tidak asing lagi dengan tema sambutan yang silih berganti. Jika slogan tersebut dibaca dan diteliti, ia akan membawa satu mesej yang sama iaitu kepentingan masyarakat berbilang kaum, budaya dan agama di negara ini agar hidup bersatu-padu, saling menghormati antara satu sama lain serta saling membantu sesama jiran tetangga.
Perpaduan yang kuat dan kukuh antara rakyat mampu menjana kejayaan dan kecemerlangan bagi kesejahteraan serta kemakmuran negara. Oleh yang demikian, perpaduan dan keharmonian adalah elemen yang sangat penting dalam mengekalkan keharmonian dalam kalangan masyarakat Malaysia. Tanpa perpaduan, nescaya kemerdekaan dan kedaulatan negara yang telah diperoleh sejak sekian lama akan hilang dalam sekelip mata. Persoalannya, bagaimanakah kita dapat mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini?
Sebagai langkah pertama dalam membentuk perpaduan, rakyat haruslah bergaul dan memupuk persefahaman antara kaum. Dalam keadaan tersebut, ibu bapa perlulah sentiasa menerapkan nilai-nilai perpaduan dalam diri anak-anak sejak kecil lagi. Bak kata pepatah, “melentur buluh biar dari rebungnya”.
Anak-anak digalakkan berkomunikasi dengan jiran yang berlainan bangsa dan ibu bapa juga disarankan membawa anak-anak mereka mengunjungi rumah jiran semasa hari lebaran atau perayaan. Dengan cara itu, ibu bapa dapat menjadi suri teladan kepada anak-anak dan membolehkan mereka menghayati keistimewaan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai jenis kaum dan etnik.
Selain itu, ibu bapa juga boleh berkomunikasi dengan anak-anak dalam pelbagai bahasa, misalnya bahasa Malaysia, bahasa Inggeris, dan bahasa-bahasa ibunda. Apabila golongan muda menguasai pelbagai bahasa, mereka dapat berkomunikasi dengan rakan yang berlainan bangsa dengan mudah. Pokoknya, nilai-nilai perpaduan dan permuafakatan hendaklah didedahkan kepada generasi muda sejak awal lagi agar jiwa perpaduan dalam diri mereka dapat berkembang dengan sempurna.
Seterusnya, institusi-institusi pendidikan perlu bertanggungjawab menerapkan semangat bersatu-padu dalam kalangan pelajar berbilang kaum. Antara langkah yang dapat diambil adalah dengan memberikan kerja-kerja berkumpulan. Dalam konteks ini, guru-guru hendaklah membahagikan pelajar secara berkumpulan dalam melaksanakan projek-projek sekolah, seperti kajian sains, persembahan, dan sambutan-sambutan majlis di sekolah.
Guru-guru juga haruslah membahagikan kedudukan pelajar dengan sempurna untuk menggalakkan pelajar berkomunikasi dengan pelajar-pelajar yang berlainan kaum dan bukannya sesama satu kaum sahaja. Dalam proses menjayakan inisiatif-inisiatif tersebut, guru tidak boleh mencetuskan isu-isu sensitif semasa mengajar, misalnya dengan mengagung-agungkan warisan budaya sendiri dan mengejek budaya kaum lain. Pendek kata, pelajar-pelajar dan guru-guru perlulah bekerjasama demi menzahirkan semangat perpaduan di peringkat sekolah.
Di samping itu, golongan pelajar perlulah belajar dan menghayati sejarah negara agar dapat memahami erti perpaduan negara. Sebagai satu daripada langkah untuk mewujudkan permuafakatan bangsa, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mewajibkan pelajar-pelajar agar lulus dalam mata pelajaran Sejarah di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun 2013.
Langkah tersebut diharapkan dapat menyedarkan anak-anak bangsa tentang akibat kurangnya perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat. Mengetahui dan memahami peristiwa yang berlaku dalam sejarah negara seperti tragedi berdarah 13 Mei 1969, sudah tentu golongan muda dan belia akan lebih menghargai perpaduan dan keharmonian yang dikecapi selama ini. Pemahaman rakyat Malaysia tentang sejarah tanah air dapat menyemai semangat perpaduan dalam diri mereka.
Pada masa yang sama, rakyat Malaysia hendaklah menghindari sebarang tindakan yang boleh mencetuskan provokasi kaum. Walaupun rakyat diberi hak kebebasan bersuara, mereka haruslah tidak mengambil kesempatan dengan mencetuskan isu-isu sensitif dan kontroversi yang dapat merosakkan rasa muhibah dan perpaduan.
Masyarakat setempat juga boleh memainkan peranan dalam mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini melalui penganjuran aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, Program Rukun Tetangga, dan kempen Bulan Kemerdekaan untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum. Aktiviti-aktiviti seperti ini mampu menjamin kesejahteraan hidup warga setempat, dengan membuka ruang dan peluang komunikasi antara jiran tetangga berlainan bangsa.

No comments:

Post a Comment